Sunday, May 31, 2009

Golongan fanatik cemar amalan demokrasi

Mohamed Mustafa Ishak

Pakar bimbang tiada kelompok tidak memihak untuk nilai sesuatu isu politik

PADA 13 Mei lalu, bertempat di Awana Resort, Genting Highlands, saya berkesempatan mengambil bahagian sebagai ahli panel pada majlis wacana politik bersama-sama Dr Chandra Muzaffar. Persoalan yang dibicarakan ialah mengenai sistem politik Malaysia, manakala audiennya pensyarah dan staf pentadbiran universiti awam di Malaysia. Dalam ucapannya, Chandra meluahkan kebimbangannya mengenai trend polarisasi politik yang semakin ketara wujud akhir-akhir ini sehingga menyebabkan kecelaruan dan kekeliruan pemikiran yang teruk berlaku di Malaysia.

Polarisasi yang dimaksudkan ialah kecenderungan mengelompokkan setiap orang yang memberikan sesuatu pendapat mengenai sesuatu isu itu sebagai sama ada tergolong dalam kelompok prokerajaan atau kelompok propembangkang tanpa melihat mengenai merit atau sejauh manakah rasional atau tidaknya sesuatu pendapat yang diutarakan. Soal tidak menghormati perbezaan pendapat atau pilihan individu tidak timbul di sini kerana setiap orang berhak ke atas sesuatu pendapatnya dan juga bebas membuat pilihan. Yang menjadi isu dan persoalan ialah kecenderungan untuk mengasingkan mereka yang memberikan sesuatu pendapat itu sebagai kelompok pro A atau kelompok pro B secara simplistik.

Akhirnya kelihatanlah seolah-olah tidak wujud pihak ketiga yang dapat digolongkan sebagai kelompok yang tidak memihak atau yang mengambil jalan tengah dalam melihat dan menilai sesuatu isu yang timbul. Bagi Chandra, fenomena ini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan wujud suatu keadaan yang amat tidak sihat dari segi kematangan politik dan perkembangan intelektual, malah boleh memburukkan lagi perpecahan dalam masyarakat di negara kita. Saya berkongsi pandangan dan sentimen dengan Chandra dalam hal ini.

Keadaan inilah yang menambahkan lagi kecelaruan politik yang telah berlaku. Misalnya, dalam kes kekeliruan sebahagian rakyat mengenai kekecohan di Perak tidak seharusnya timbul jika kita mengambil sikap tidak terlalu memihak serta memahami prinsip dan amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

Apakah prinsip demokrasi berparlimen yang dimaksudkan itu? Prinsipnya mudah saja, iaitu, rakyat berhak memilih wakil mereka ke Badan Perundangan (Legislatif- yakni Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) menerusi pilihan raya bertempoh (lima tahun sekali), dan wakil yang terpilih kemudiannya mempunyai mandat menentukan siapa yang di mahukan mereka menjadi ketua kerajaan (Perdana Menteri atau Menteri Besar) dan seterusnya membentuk kerajaan.

Prinsip yang digunakan ialah, siapakah di kalangan mereka yang dapat memperoleh majoriti sokongan ahli Dewan atau Badan Perundangan bagi memimpin kerajaan. Ertinya, seseorang ahli Badan Perundangan itu dipilih menjadi Ketua Kerajaan hanya apabila ia mempunyai majoriti sokongan ahli Badan Legislatif. Apabila sokongan majoriti itu sudah tidak ada lagi kepadanya atas apa juga sebab, maka hilanglah kelayakannya untuk mengetuai kerajaan dan beliau harus melepaskan jawatannya atau memohon membubarkan Dewan. Namun, jika Dewan tidak dibubarkan atas prinsip bahawa kini ada seorang ahli lain di dalam Badan Perundangan itu yang kini memperoleh majoriti sokongan ahli-ahli dewan, maka, beliaulah yang dikira layak memimpin dan membentuk kerajaan yang baru.

Inilah prinsip yang menjadi amalan di kebanyakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Justeru, mereka yang tidak dapat menerima, tidak menghormati atau gagal memahami prinsip mudah ini sebenarnya mencemarkan amalan demokrasi itu sendiri. Mereka memalukan diri mereka sendiri dengan menunjukkan kegagalan mereka memahami amalan sistem demokrasi berparlimen yang telah lebih 50 tahun bertapak di Malaysia. Tindakan membawa perkara ini ke mahkamah atau berdemonstrasi, atau melancarkan mogok lapar bagi menuntut pembubaran Dewan mungkin tidak diperlukan jika setiap pihak yang terbabit rasional dan menerima prinsip 'rule of the game' atau 'undang-undang permainan' dalam sistem demokrasi yang diamalkan ini.

Isu kepulangan Chin Peng

Dalam kekecohan dan kecelaruan minda menghadapi situasi politik di Perak, timbul pula isu mengenai Chin Peng, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang merayu untuk pulang dan menghabiskan sisa umurnya di kampung halamannya di Sitiawan, juga di Perak. Apakah semua orang betul-betul mengetahui siapakah Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang kini berusia 85 tahun. Fahamkah anak-anak muda hari ini mengenai apakah perjuangannya dan kenapakah beliau lari ke luar negara selama berpuluh-puluh tahun sebelum membuat perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand di Haadyai pada 1989. Ekoran perjanjian itu Chin Peng mengarahkan PKM dan pasukan gerila komunisnya meletak senjata serta bersetuju tinggal dalam buangan di perkampungan yang dikhaskan di Selatan Thailand pada 1989. Menerusi perjanjian damai itu Chin Peng tidak menyerah kalah kepada Kerajaan Malaysia atau memohon maaf atau menyesali perjuangannya selama ini. Chin Peng juga tidak pernah menjanjikan yang beliau menolak dan akan meninggalkan ideologi komunisnya.

Chin Peng adalah satu nama besar dalam perjuangan komunis di Malaysia. Beliau memilih untuk menentang British secara bersenjata mulai 1948 dan kemudian terus menentang kerajaan merdeka yang sah memerintah Malaysia sehinggalah 1989 juga menerusi pemberontakan bersenjata. Chin Peng tidak mengiktiraf kemerdekaan negara yang dicapai pada 1957. Matlamat Chin Peng dan PKM ialah menjadikan Malaysia sebuah negara berideologi komunis di bawah naungan Republik Rakyat China yang juga berideologi komunis.

Perbezaan Chin Peng dengan pejuang kemerdekaan negara yang lain sangat besar. Sementara pejuang kemerdekaan yang lain berjuang secara aman dan berhasrat menjadikan Malaya yang merdeka sebagai sebuah negara demokratik yang mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, Chin Peng dan gerila komunisnya memilih keganasan, kekerasan dan senjata bagi mencapai matlamatnya. Komunisme menolak sistem beraja. Justeru, sistem beraja akan lenyap jika mereka berjaya menguasai negara. Demokrasi juga tidak wujud dalam komunis kerana komunisme yang di perjuangkan Chin Peng dan PKM ialah satu sistem autokratik yang berlandaskan kekerasan bukannya pilihan raya demokratik.

Doktrin hak asasi juga tidak diterima pakai dalam ideologi komunis yang dibawa PKM. Dalam PKM tidak pernah wujud amalan doktrin hak asasi manusia. Komunisme adalah sebuah sistem Totalitarian yang tidak mengiktiraf ideologipolitik lain. Komunis juga menganggap 'agama sebagai candu kepada masyarakat'. Ideologi komunis tidak mempercayai dan menolak agama. Jika sekiranya mereka berjaya, landskap politik negara yang berteras dan bercirikan Melayu dan kebebasan beragama pasti lenyap. Justeru, majoriti orang Melayu dan mereka yang percayakan agama menolak komunis. Lebih jauh dari itu, negara memutuskan bahawa kita menolak komunisme sebagai satu ideologi politik yang sah untuk diamalkan dalam politik negara kerana percanggahannya dengan nilai kehidupan sosial dan politik rakyat Malaysia.

Akibat pemberontakan bersenjata PKM, Malaya diisytiharkan Darurat mulai 1948-1960. Pesuruhjaya Tinggi British Henry Gurney dibunuh oleh askar Chin Peng pada 1951. Ketua Polis Negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim juga dibunuh oleh ejen PKM pada 1974. Pada 1975, komunis juga terbabit membunuh Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong. Komunis juga mengebom Tugu Negara pada 1975. Ratusan nyawa pasukan keselamatan kita yang terdiri daripada anggota tentera dan polis melayang gara-gara perjuangan komunis pimpinan Chin Peng dan PKM. Yang tercedera dan merana sepanjang hayat juga besar bilangannya. Komunis juga membunuh dengan kejam puluhan anggotanya sendiri yang dianggap berpaling tadah. Demikianlah perjuangan yang dianggap luhur oleh Chin Peng untuk negara kita yang tercinta ini. Menonton semula filem Bukit Kepong arahan dan lakonan Jins Shamsudin pasti dapat mengimbau kembali sebahagian daripada kekejaman dan sisi gelap perjuangan Chin Peng dan PKM.

Benar sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Tetapi Chin Peng juga dibenar menulis sejarahnya sendiri. Di dalam memoirnya setebal 527 muka surat, yang diberi jodol Chin Peng: My Side of History, Chin Peng menyebut dengan bangganya,

"Every generation shapes its dreams. …But you pay for your dreams. We certainly paid for ours. …I do not regret having fought for what I considered - and still consider – a just cause." (Chin Peng, 2003:9)

("Setiap generasi membina impiannya. ... Tetapi anda membayar ke atas impian anda itu. Kami telah membayar harga ke atas impian kami. ... Saya tidak menyesal berjuang ke atas sesuatu yang saya percaya – dan masih mempercayainya sebagai suatu perjuangan yang adil.")

Demikianlah Chin Peng dan sikapnya terhadap perjuangan komunisme. Baginya perjuangan ini adalah adil dan beliau bersedia membayar harga yang mahal ke atas prinsip perjuangan itu. Chin Peng dulu dan Chin Peng sekarang tiada bezanya. Cuma, Chin Peng sekarang sudah tua dan uzur dan ingin sekali menamatkan hari tuanya di bumi kelahirannya yang tercinta, Malaysia. Bumi sama yang selama puluhan tahun dikhianatinya demi perjuangan komunisnya. Puluhan tahun juga keamanan dan kedamaian negara dirosakkan oleh perjuangan PKM. Chin Peng sekarang mengharapkan simpati dan rasa kemanusiaan kerana usianya sudah lanjut. Kata mereka yang simpati dengannya beliau sudah tua dan bukan lagi ancaman kepada negara kerana komunisme sendiri sudah runtuh sebagai suatu ideologi politik. Demikianlah hujah beliau dan mereka yang bersimpati dengan rayuan Chin Peng lalu menyokong beliau diizinkan kembali ke Malaysia.

Persoalan yang dihadapi sekarang ialah, wajar atau cukupkah merit dan asas pertimbangan membenarkan Chin Peng pulang dibuat atas dasar beliau sudah tua dan rasa kemanusiaan semata-mata? Bagaimana pula dengan sejarah perjuangan beliau ketika muda dan pendirian kerasnya yang masih tidak berubah sehingga kini? Bagaimana dengan sejarah tiga belas hari Bintang Tiga memerintah Malaya pada 1945? Bagaimana dengan pelbagai peristiwa ganas yang berlaku ketika Darurat 1948-1960? Bagaimana dengan pelbagai kekejaman dan keganasan PKM ketika era pemberontakan bersenjata komunis fasa kedua mulai 1968 sehingga mereka meletakkan senjata?

Chin Peng bukan komunis biasa. Beliau ialah pemimpin tertinggi PKM. Beliaulah penggerak utama perjuangan PKM. Beliau dan PKM belum pernah diadili di atas semua tindakan dan perbuatan yang mereka lakukan ke atas rakyat dan negara ini. Terdapat rakyat Malaysia lain yang menentang negara menerusi senjata sudah dihukum mati setelah di dapati bersalah oleh mahkamah. Tetapi Chin Peng dan PKM terlepas daripada pengadilan mahkamah. Justeru, persoalan akhir yang ingin dikemukakan ialah siapa yang harus dipertanggungjawabkan di atas semua yang telah dilakukan oleh PKM di sepanjang perjuangan bersenjata mereka di negara ini? Siapa yang harus membayar harganya? - Berita Minggu 31/5/09