Sunday, June 21, 2009



Demonstrasi membantah kekejaman komunis.





KIPAS pesawat Bristol Brigand RH755 yang terhempas di Banjaran Bintang Hijau.






Catatan, bukti kezaliman Bintang Tiga terus hantui penduduk Lenggong, Grik (Sumber: Berita Minggu 21/6/09)

LENGGONG, GRIK dulunya dikelilingi hutan belantara dan banjaran di situ diakui kawasan hitam kerana menjadi laluan komunis menghubungkan utara ke Pantai Timur serta bersempadan dengan Thailand.
-
Di Lenggong saja sudah banyak peristiwa berdarah berlaku, pembunuhan anggota keselamatan dan penduduk yang enggan bekerjasama.
-
Antara secebis tragedi berdarah yang berlaku di situ ialah ‘Peristiwa Bechah Kemahang’ yang berlaku di Changkat Berangan, Lenggong pada 1952, ketika era komunis mengganas memuncak.
-
Peristiwa itu merujuk kepada serangan komunis ke atas sebuah bas awam ulang alik dari Taiping ke Grik yang digelar penduduk sebagai ‘Mail Car’ kerana sering membawa bungkusan pos dan penumpang pada 1952. Ketika tiba di Bechah Kemahang, semua 30 penumpang diarahkan turun kerana komunis mengesyaki bas itu membawa anggota risik. Selepas menggeledah dan menyoal siasat, komunis tidak menemui individu dikehendaki menyebabkan mereka bertindak ganas.
-
“Berdasarkan cerita lisan daripada datuk saya, Osman Mat Piah, komunis menggantung sampai mati seorang wanita Cina dan dua wanita Melayu di pondok estet di tepi jalan. Penumpang lain dibawa ke gua di Bintang Hijau dan dikurung. Banjaran Bintang Hijau
· Mendapat nama sempena kedudukan kumpulan komunis Bintang 3 dan Bintang 5.
· Laluan ke sempadan Thailand (seminggu perjalanan).
· Dikelilingi berbelas kampung Baru Cina yang diwujudkan semasa darurat.
· Pernah menjadi laluan gerila dan Force 136. · Pernah diisytiharkan kawasan hitam pada 1950-an, 1960-an dan 1970-an,
-
“Mereka mencabar penduduk, jika mahukan tebusan hidup datanglah selamatkan. Ketika itulah muncul tujuh bersaudara terdiri daripada pasukan Homeguard tempatan bangkit menyerang kubu berkenaan dan menyelamatkan tebusan,” katanya.
-
Homeguard tujuh bersaudara itu terdiri daripada Osman Mat Piah bersama dua beradik, Hussien dan Yaakob disertai tiga lagi anak Yaakob iaitu Mior Ahmad, Mior Kassim dan Mior Ariffin serta menantunya, Sulaiman Pandak Yusoff. Bersenjatakan senapang patah dibekalkan kepada pasukan kawalan kampung, tujuh bersaudara itu berjaya menyelamatkan tebusan selepas berlaku pertempuran selama tiga hari menyebabkan semua 30 komunis terbunuh.
-
Pada tahun yang sama juga berlaku nahas udara sebuah pesawat penyerang dan pengebom British, Bristol Brigand PH755 yang terhempas ketika operasi mengebom sarang komunis di kawasan berkenaan menyebabkan tiga krew pesawat terbunuh.
-
Krew pesawat Bristol Brigand RH 755 yang terkorban.
· Juruterbang: Basil Cochrane,
· Sarjan James Blacklock Armstrong. · Cyril John Alexander Cox.
-

Antara kezaliman komunis sekitar Lenggong dan Grik:
· 800 komunis mengganas di Grik, Lenggong, Baling dan di Kroh sehingga menjadi padang jarak padang tekukur.
· Bermula 1945, membakar rumah penduduk kampung yang enggan menerimanya sebagai pihak berkuasa iaitu:
· Bukit Buloh.
· Malau.
· Kubang.
· Kuala Kenering.
· Sungai Terap.
· Kampung Chua.
· Kampung Beko
· Manong
· Kampung Chepor · Bukit Sapi, Lenggong.











Wednesday, June 17, 2009

Majoriti rakyat tidak mahu Chin Peng kembali - Datuk Abdullah Morad

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Isu kepulangan Chin Peng berbangkit dan hangat diperkatakan oleh rakyat negara ini berikutan wujud cadangan daripada pihak tertentu yang mahu supaya Chin Peng dibenarkan pulang atas dasar kemanusiaan. Malah, ada pemimpin pembangkang yang menyokong cadangan terebut.
-
Baru-baru ini Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mahu Chin Peng dibenarkan pulang atas alasan kerajaan pernah membenarkan beberapa anggota komunis pulang ke tanah air. Apakah motif Anwar menyokong kepulangan Chin Peng yang rakyat rata-ratanya menolak cadangan tersebut. Yang nyata ianya hanyalah modal Anwar dan PKR menarik simpati dari golongan tertentu.

Menurut sumber Jabatan Penerangan 80 peratus rakyat tidak mahu Chin Peng pulang ke tanah air. Kajian yang dijalankan oleh Jabatan penerangan mendapati semua kaum tidak dapat melupakan kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu.

Ketika merasmikan Program Sepakat Bestari di Yan baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad berkata kajian yang membabitkan 10,000 responden itu mendapati kira-kira 80 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mahu Chin Peng dibenarkan kembali atau diberi kerakyatan negara ini. Kaji selidik yang melibatkan pelbagai kaum di seluruh negara mendapati rakyat semua kaum tidak dapat menerima Chin Peng kerana kekejaman yang pernah dilakukannya sewaktu zaman darurat dan selepas negara mencapai Kemerdekaan.


Catatan: Tahukah anda bahawa kerajaan membelanjakan $300,000 sehari selama 12 tahun dalam usaha menghapuskan komunis.

Saturday, June 13, 2009

Pengaruh Komunis dalam Tragedi 13 Mei

Oleh Megatrambai

Dalam bukunya May 13: Before and After, Tunku Abdul Rahman menyebut bahawa Komunis dan kongsi gelap adalah di antara penyebab tercetusnya tragedi itu.

Laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) The May 13 Tragedy yang dikeluarkan pada thaun 1969 menyebut, walaupun Parti Komunis Malaya (PKM) bukan pencetus langsung tragedi tersebut, namun laporan itu tidak menafikan wujudnya ejen-ejen komunis dalam Parti Buruh Malaya (PBM).

Demikian juga peranan kongsi gelap Cina turut disebut dalam laporan itu. Kedua-duanya telah menyemarakkan tragedi hitam itu.

PBM yang majoriti anggotanya adalah kaum Cina gemar memainkan api perkauman. Pada April 1969, dua minggu sebelum pilihanraya umum 1969 PKM terlibat dalam pembunuhan seorang ahli Umno di Pulau Pinang.

Semasa tempoh berkempen pilihan raya umun 1969 seorang ahli PBM ditembak kerana cuba menyerang polis.

PBM menganjurkan perarakan mayat ahlinya yang mati itu secara besar-besar di KL yang dihadiri hampir 10,000 orang. Mereka melaungkan nama Mao Zedong serta menyanyikan lagi "Timut Itu Merah".

Paling buruk slogan yang mereka melaungkan yang sangat mengina orang Melayu ilaha slogan 'Malai Si' (Melayu Mati), melayu masuk hutan dan hutang darah dibayar darah.

Jelaslah bahawa dari slogan-slogan yang dilaungkan itu membuktikan PKM turut terlibat dalam peristiwa 13 Mei.

Monday, June 8, 2009

Tiada Tuhan dalam Komunisme

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Komunisme (Marxisme) menegaskan nasib manusia sepenuhnya di tangannya sendiri. Baginya, hanya manusia yang lemah sahaja menyandarkan nasibnya kepada belas kasihan Tuhan. Tuhan tidak wujud dalam alam ini. Ia hanya ciptaan dan khayalan mereka yang lemah yang cuba lari dari penindasan, penghinaan dan penderitaan ynag dilakukan oleh kaum borjouis (kapitalis dan pemerintah) . Justeru, doktrin moral dan agama komunis menganggap agama adalah candu bagi rakyat. “Religion is the opium of the people . ....... That is why the founders of Marxism considered scientific and materialist propaganda as the most powerful weapon in the fight against religion!”

Manusia yang tidak menganut paham marxisme-komunisme adalah musuh yang harus dikuasai dan dipaksa menjadi penganut komunisme Dalam realiti sosial, kaum komunis berhadapan dengan kaum kapitalis (kaum pemodal), dan penguasa. Kaum komunis harus membela kaum miskin (proletar) teridiri dari buruh, petani dan rakyat yang ditindas sebagai misi perjuangannya.

Tiga serangkai marxisme-komunisme-atheisme ditegakkan sebagai doktrin dan dogma fanatisme oleh penganutnya. Keyakinan dogmatisnya menggantikan agama sebagai asas ideologinya. Komunis menganggap Karl Marx adalah nabi kaum komunis dan marxisme-komunisme adalah agama mereka. Komunisme menganut paham atheisme. Ini berarti tidak ada moral agama dalam kamus hidup mereka.

Justeru ia bercanggah dengan masyarakat beragama, khususnya umat Islam yang mengakui Allah Tuhan Yang Maha Esa, yang mengajarkan akhlak mulia berasaskan tauhidullah. Masyarakat Malaysia yang berpegang kepada prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan seharusnya berkewajiban menegakan nilai-nilai moral berasaskan ajaran agama masing-masing.

“Tujuan menghalalkan cara” adalah kaedahnya. Mereka berkeyakinan bahwa untuk mencapai tujuan komunisme maka ia perlu menggunakan uslub revolusi - mengangkat senjata menggulingkan kerajaan bukan komunis.

Saturday, June 6, 2009

Rakyat tidak mudah lupa keganasan komunis

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

CHIN Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di No 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Perak. Beliau adalah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Perjuangan revolusi (bersenjata) yang didokongnya banyak menumpahkan darah.

Tidak sedikit air mata yang mengalir, penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang mendalam dialami rakyat akibat kekejaman komunis ketika zaman Darurat (1948-1960). Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan di estet getah seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.

Pastinya perajurit tanah air yang berjuang menentang komunis tidak dapat melupakan kezaliman dan kekejaman komunis. Selagi hayat dikandung badan, maka segala pengalaman itu tetap menjadi kenangan pahit buat mereka.

Manja Mohd Ludin dalam buku Psikologi Sosiologi dan Falsafah Dalam Pendidikan (DBP, 1990) mencatat seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Ramai perajurit yang cacat kerana bertempur dengan komunis masih hidup hingga kini. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang.

Elok rasanya kita menyingkap sekelumit sejarah pergerakan komunis di negara kita. Ideologi komunis mula menyerap masuk ke Tanah Melayu pada 1920-an. Melalui Biro Timur Jauh, ejen komunis antarabangsa (Comintern), terutama dari China dan Russia berjaya mempengaruhi kebanyakan pertubuhan buruh, kesatuan sosialis dan kesatuan pengguna yang kebanyakannya dianggotai kaum Cina.

Bahan penerbitan komunis seperti surat berita keluaran Rosita dan Delta News Agency, buku dan risalah komunis dari China dan Russia mempengaruhi kebanyakan orang Cina. Buku berjudul Komunisme dan Negeri China karangan Fung Tsz You adalah di antara buku yang dibaca.

Kelas malam yang wujud di Kuala Lumpur turut dijadikan markas penyebaran fahaman komunis. Pada Mei 1926, Kesatuan Sekerja Am Nanyang ditubuhkan di bawah pengaruh Communist International TradeUnion Organisation (Profintern). General Labour TradeUnion’ di Singapura turut dipengaruhi komunis.

Kedua-duanya mendalangi beberapa siri mogok sekitar 1920-an. Pada 1928 Parti Komunis Nanyang ditubuhkan dengan sayap utamanya Liga Anti Imperialis Nanyang. Akhirnya, atas arahan Commintern, maka PKM ditubuhkan pada 1930 menggantikan Parti Komunis Nanyang. Sayap pemudanya dikenali sebagai Malayan Communist Youth. Pada 1935, pemogokan pekerja didalangi komunis berlaku di Singapura dan Kuala Lumpur.

Ia menjadi serius pada 1937 apabila buruh estet getah dan bijih turut mogok menyebabkan ekonomi negara terancam. British di Tanah Melayu melaksanakan ‘Punishment Ordinance’ dengan menangkap pemimpin kesatuan buruh yang disyaki sebagai aktivis komunis. Namun, mereka terus berarak dan berdemonstrasi di Kuala Lumpur dan keadaan menjadi serius apabila buruh lombong arang batu di Batu Arang merampas lombong serta mengawal pengurusannya.

Ia akhirnya memaksa majikan bersetuju menerima beberapa tuntutan mereka seperti kenaikan gaji, syarat bekerja yang lebih baik dan kemudahan pekerja yang sewajarnya. Ketika Jepun menawan Tanah Melayu, PKM turut bangkit menentang Jepun menyebabkan British mengiktirafnya sebagai pertubuhan yang sah (1945-1948).

Sentimen anti-Jepun di kalangan orang Cina dan PKM mendorong mereka menubuhkan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk menentang Jepun. Selepas tamatnya perang (16 Ogos 1945), MPAJA atau dikenali sebagai Bintang Tiga menguasai negara selama 14 hari dengan melakukan pelbagai kezaliman dan kekejaman.

Apabila British kembali pada awal September 1945 dan mengharamkan MPAJA, maka ahlinya menganggotai Old Comrades Association yang ditubuhkan akhir 1945. Di antara 1946-1947 terdapat hampir 300 pemogokan didalangi komunis.

Pada 1947, Chin Peng dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM. Beliau tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao Zedong. Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960).

Perjuangannya bersarang di hutan belantara dengan melakukan serangan hendap serta menggunakan kaedah perangkap samar yang mengorbankan banyak nyawa dan kecacatan. Pada 1955, Chin Peng menolak perjanjian Damai Baling dan meneruskan perjuangan bersenjata dengan berselindung di sebalik nama Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Pada November 1957 Persidangan International Communist Movement di Moscow mengiktiraf PKM sebagai parti komunis yang mewakili pertubuhan komunis antarabangsa di Tanah Melayu. Wakil PKM yang hadir dalam persidangan itu ialah Siu Cheong dan Musa Ahmad. Nama seperti Rashid Maidin, Musa Ahmad, Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Shamsiah Fakeh, Ahmad Baki, Ali Majid dan Abdul Rahman membawa kita kepada persoalan mengenai pembabitan orang Melayu dalam perjuangan fahaman kiri ini.

Untuk mempengaruhi orang Melayu, komunis menerbit dan menyebarkan risalah dalam bahasa Melayu seperti Suara Boeroeh Malaya dan Ingatan. Mereka juga menubuhkan Jawatankuasa Tempatan Komunis dan Liga Anti-Imperialis.

Aktivis Parti Komunis Indonesia (PKI) juga digunakan untuk meraih sokongan orang Melayu dan orang Jawa di beberapa negeri. Apabila pemberontakan PKI (1926) gagal, ramai tokoh ternamanya seperti Tan Malaka, Hasanoesi, Alimen, Sutan Pateh, Moeso, dan Boedisoejitro melarikan diri ke Singapura dan Pulau Pinang.

Wakil PKM iaitu Rashid Maidin pernah hadir dalam persidangan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) di Maahad II Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol pada Mac 1947. Beliau cuba membangkitkan semangat orang Melayu supaya menentang British melalui kekerasan tetapi usahanya gagal kerana ulama menolak perjuangan mereka.

Sekitar 1960-an, masih wujud usaha mempengaruhi orang Melayu melalui penubuhan beberapa sekolah tajaan komunis untuk orang Melayu tetapi gagal. Sekitar 1970-an, terdapat dua siri pembunuhan dilakukan oleh ejen komunis ke atas pegawai tertinggi Polis Di-Raja Malaysia iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim (1974) dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong (1975).

Tugu Negara juga turut dibom pada 1975. Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989.

Kesimpulannya, perjuangan komunis gagal kerana ia tidak mendapat sokongan orang Melayu yang berakidah Islam. Perjuangan komunis bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana cita-cita PKM mahu membentuk sebuah Republik Komunis Tanah Melayu adalah satu bentuk penjajahan baru yang tidak dapat diterima sama sekali, khususnya di kalangan orang Melayu beragama Islam. Justeru, wajarkah satu perjuangan songsang diberi pengiktirafan di negara ini? - BH 3/6/09

Tuesday, June 2, 2009


BEBERAPA CATATAN KEKEJAMAN DAN KEDURJANAAN PENGGANASA KOMUNIS
Mohd Ayop Abd Razid

1. Pada 13 Dis 1948, pengganas komunis membakar bangunan anak-anak yatim di Serendah, selangor membunuh seorang pengawas di rumah kebajikan itu.
-
2. Pada 21 Sept 1949, pengganas komunis di daerah Plentong, Jhr Bahru melemparkan seorang kanak-kanak berusia lapan thn ke dalam api yang sedang marak menyala. Komunis turut membunuh kaum keluarga kanak-kanak malang itu.
-
3. Pada 5 Julai 1949 pengganas komunis melemparkan sebutir bom ke arah orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan sarkas di Kampar, Perak. Empat orang terbunuh dan 46 orang cedera termasuk kanak-kanak dan wanita sedang mengandung.
-
4. Pada 12 Ogos 1949, pengganas memasuki rumah para buruh di Ladang Jany, Selangor dan merompak wang tunai dan barang-barang kemas. Sebenarnya terlalu banyak tindakan komunis menceroboh, merompak dan membakar rumah pekerja.
-
5. Pada 4 Februari 1950 pengganas komunis membakar kampung di Simpang Tiga, Perak mengakibatkan 1,000 orang kehilangan rumah.
-
Demikianlah beberapa contoh keganasan komunis sekadar mengingatkan kita betapa durjananya tindakan pengganas komunis. Terlalau banyak kekejaman dan kejahatannya ynag boleh dirakamkan. -KATAKAN TIDAK KEPADA CHIN PENG DAN FAHAMAN KOMUNIS

Sekelumit tentang kepalsuan dan kesongsangan ideologi Komunis
Mohd Ayop Abd Razid
-
Adunan pemikiran Marxism-Lenisnism menghasilkan apa yang dinamakan komunisme. Ia adalah satu fahaman yang bercanggah dengan fitrah manusia. Ideologinya bersifat atheist iaitu tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Bagi Komunisme, materi (benda) adalah hakikat segala kepercayaan. Ia menjadi asas pemikiran komunis. Ideologi komunis pada hakikatnya membawa ”kesedaran palsu” kepada manusia kononnya keadilan dan kesamarataan hanya mampu diberikan oleh komunisme.
-
Komunisme dikepali oleh W.I.Lenin, sejak tahun 1917 telah menjadi kekuatan politik dan ideologi international. Apabila revolusinya di Jerman gagal dan tidak diterima oleh Eropah maka ia menjadikan Asia sebagai kawasan untuk menyuburkan fahaman komunis. Ideologi komunis mula menyerap masuk dibeberapa negara Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu pada sekitar 1920-an.
-
Perjuanganya bersifat keras @pendekatan revolusi bersenjata. Padanya, kekerasan atau revolusi adalah satu-satunya jalan untuk membentuk satu masyarakat komunis yang kononnya dapat menebarkan kemakmuran negara secara adil. Segalanya milki negara dan tidak ada pemilikan individu. Jelas bahawa asas pemikiran dalam persoalan milik harta bercanggah dengan ajaran Islam dan demokrasi.
-
Siapa yang tidak pernah mendengar tentang Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA), satu pertubuhan komunis Malaya, terkenal dengan gelaran Bintang Tiga menguasai Tanah Melayu selam 14 hari selepas Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1946. Dalam masa tempoh sesingkat itu pelbagai bentuk penyiksaan, kezaliman dan keganasan bermaharajalela di negara kita dek kerana angkara dan kejahatan komunis.
-
Ketika Jepun menjajah TM, kebanyakan orang Cina menyertainya kerana benci akan Jepun ekoran permusuhan China-Jepun ketika itu. Di TM Jepun menjadikan mereka sebagai sasaran kekejaman. Memang ada orang melayu yang menyertainya tetapi sedikit. Tokoh-tokoh melayu kiri yang menyertainya adalah disebabkan tertipu dengan permainan dan tipu daya licik PKM.
-
Selepas tamat perang dan Jpn menyerah kalah, perjuangan Komunis bertukar haluan untuk mewujudkan negara Komunis Tanah Melayu. Memang itupun agenda komunis yang menerima arahan dari Komunis antarabangsa (Comintern). Mereka berselindung di sebalik slogan pembebasan nasional.
-
Adakah benar ideologi komunis sudah berkubur di negara ini sebaik sahaja Perjanjian Damai antara PKM dan kerajaan Malaysia yang diadakan di Haadyai pada 1 Disember 1989? Semasa sidang media selepas majlis perjanjian tersebut, Chin Peng yang ditanya wartawan berkata bahawa PKM hanya meletakkan senjata bukannya membubar PKM. Chin Peng mengaku bahawa fahaman komunis adalah ideologi anutannya. Beliau tidak mengisytiharkan bahawa dia telah membuang secara total ideologinya.
-
Malah dalam buku Chin Peng My Side Story mempamerkan kebanggaannya terhadap ideologi tersebut. JUSTERU BERHATI-HATILAH dengan tipu muslihat mereka. Tidak mustahil Komunis antarabangsa mula menyemarakkan kembali ideologi kufur ini .